Kursus 1:
10 Kesalahan Biasa Yang Dilakukan Oleh Calon Temuduga
Salam sejahtera. Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada anda kerana sudi mengikuti Kursus Temuduga Online ini. Untuk pengetahuan anda, kursus ini adalah kursus pendek bagi anda yang ingin melakukan persediaan untuk menghadiri temuduga. Jangan khuatir tentang bayaran kerana saya memberikan kursus ini secara percuma kepada anda.
Mungkin anda pernah menghadiri beberapa siri temuduga tapi masih belum lagi beroleh pekerjaan. Tidak mengapa. Jangan berasa kecil hati atau kecewa jika syarikat yang anda hadiri temuduga tidak berminat dengan anda. Ini kerana pada zaman sekarang anda perlu bersaing. Sesebuah syarikat akan menerima ratusan resume untuk sesuatu tawaran pekerjaan yang diiklankan. Majikan perlu menapis ratusan permohohan kerja ini sebelum mereka membuat keputusan memilih calon yang sesuai. Kemudian mereka akan memilih 10 calon terbaik untuk ditemuduga. Daripada 10 calon tersebut, hanya tiga daripada mereka akan dipilih untuk temuduga seterusnya.
Daripada perkiraan di atas, nampak seperti agak sukar untuk anda memperoleh pekerjaan. Namun begitu anda tidak perlu terlalu jangan risau. Selepas anda menamatkan 7 siri kursus ini serta membaca panduan Teknik Menjawab Soalan Temuduga, anda akan berada di puncak!
Baiklah, pelajaran pertama...
Anda tentu pernah dengar kisah calon-calon temuduga yang nampak hebat. Akan tetapi ketika sesi temuduga, dialah individu yang paling teruk. Pada masa yang sama, ada individu yang nampak biasa-biasa sahaja. Akan tetapi, dia mudah mendapatkan pekerjaan.
Apakah yang telah kesalahan yang telah dilakukan oleh individu yang gagal tadi? Di bawah ini saya senaraikan 10 kesalahan yang sering dilakukan oleh calon-calon temuduga. Mari kita belajar daripada kesilapan mereka supaya kita dapat mengambil pengajaran.
1. Cara bersalam yang lemah
Peluang pertama anda untuk menonjolkan diri anda ialah pada tiga saat pertama berjabat tangan dengan penemuduga ketika memulakan sesi temuduga. Jika cara berjabat tangan anda betul, ia akan memberikan gambaran yang positif tentang diri anda kepada penemuduga. Jika genggaman tangan anda lemah, maka adalah hampir mustahil untuk anda membina hubungan yang baik dengan penemuduga. Ini kerana setiap cara bersalam mempunyai maksudnya yang tersendiri.
Genggaman tangan yang lemah dan kendur: Memberikan gambaran tidak berminat dan lemah.
Bersalam dengan menggunakan hujung jari: Menunjukkan kurang minat untuk bergaul.
Genggaman yang terlalu keras: Menunjukkan rasa tidak ikhlas (seperti seorang jurujual yang terlalu agresif).
Bagaimanakah cara bersalam yang betul? Caranya ialah dengan menggenggam sedikit sahaja tangan penemuduga. Jangan terlalu kuat dan jangan terlalu lemah. Yang penting anda dan penemuduga berasa selesa. Untuk mendapatkan cara bersalam yang paling betul, anda perlu berlatih dengan rakan-rakan anda. Selepas itu, minta mereka kritik dengan ikhlas dan beritahu tentang perasaan mereka tentang anda.
2. Terlalu Banyak Bercakap
Dalam temuduga, anda perlu bercakap. Jika anda lebih banyak diam dari bercakap, ia menunjukkan anda seorang yang pasif. Namun sekiranya anda terlalu banyak bercakap, ia tidak bagus juga.
Berikut adalah dua bentuk banyak bercakap dalam temuduga dan gambarannya.
Menjawab soalan yang mudah dengan panjang berjela-jela – Gambaran: Anda tidak faham apa yang dimaksudkan oleh penemuduga.
Bercakap dengan nada gelisah – Gambaran: Anda sedang menyorokkan sesuatu atau sedang menipu.
Untuk mengelakkan bentuk terlebih cakap ini, anda perlu membuat latihan menjawab soalan secara bersahaja. Dapatkan soalan-soalan yang sering ditanya ketika temuduga dan berlatih cara menjawabnya dengan rakan anda. Dengan melakukan ini, anda akan lebih bersedia dalam temuduga seterusnya.
3. Bercakap Perkara-perkara Yang Negatif Tentang Majikan/Bekas Majikan
Cara paling cepat untuk anda TIDAK diterima bekerja ialah menyatakan perkara-perkara negatif tentang majikan atau bekas majikan anda. Walau seteruk mana majikan anda itu, jangan sekali-kali menyatakan perasaan tidak puas hati anda itu di hadapan penemuduga. Walaupun tuduhan anda itu memang benar dan munasabah, anda akan gagal dalam temuduga tersebut. Ini kerana anda akan dianggap tidak menunjukkan rasa hormat kepada majikan anda.
Oleh yang demikian, apabila diminta bercakap tentang majikan anda, pastikan anda bersedia dengan jawapan-jawapan yang positif sepanjang pengalaman anda dengannya.
4. Datang terlalu awal atau lewat
Calon-calon yang datang lewat akan memberikan gambaran yang negatif kepada penemuduga. Jika dalam sesi temuduga anda sudah terlewat, penemuduga pasti beranggapan bahawa anda akan selalu lewat ketika bekerja nanti.
Namun begitu anda juga tidak perlu datang terlalu awal. Sekiranya anda datang terlalu awal, misalnya satu jam atau 30 minit sebelum temuduga, ia akan memberikan gambaran yang kurang baik juga. Anda akan kelihatan seolah-olah terlalu terdesak untuk mendapatkan pekerjaan. Jadi, tunjukkan yang anda menghargai masa yang anda miliki. Jadi jangan datang terlalu lewat atau terlalu awal.
5. Bersikap Kurang Sopan Dengan Penyambut Tetamu (Receptionist)
Disebabkan orang pertama yang anda akan jumpa ketika temuduga nanti ialah seorang penyambut tetamu (receptionist), anda perlu bersedia. Jangan bersikap tidak sopan, biadap dan tidak profesional dengan receptionist. Ini kerana penilaian temuduga anda bermula dari sini. Penyambut tetamu boleh diibaratkan sebagai CCTV kepada penemuduga. Mereka mempunyai kuasa untuk menentukan samada anda layak atau tidak bekerja di situ disebabkan sikap dan tingkahlaku anda. Selepas anda pulang, penemuduga mungkin akan bertanyakan sesuatu kepada receptionist. Mungkin tentang tingkah laku anda.
6. Bertanya Tentang Faedah, Percutian Atau Gaji
Pada akhir sesi temuduga, biasanya penemuduga akan memberi peluang kepada anda untuk bertanyakan soalan jika ada. Namun ini tidak bermakna anda boleh tanya sebarang soalan. Soalan yang perlu anda elakkan ialah soalan bertanyakan tentang faedah, percutian atau gaji yang anda akan terima. Biarpun perkara ini penting bagi anda, namun biarlah penemuduga menentukannya. Selagi penemuduga tidak membangkitkan perkara ini, selagi itulah anda harus berdiam diri.
7. Tidak Melakukan Persediaan Untuk Temuduga
Jika anda tidak melakukan sebarang kajian tentang syarikat sebelum menghadiri temuduga, anda sebenarnya secara terang-terangan telah memberitahu syarikat bahawa anda tidak berminat dengan syarikat tersebut. Ini kerana salah satu cara untuk menunjukkan anda mengetahui banyak perkara tentang syarikat ialah dengan mengajukan soalan-soalan yang berkaitan dengan syarikat kepada penemuduga. Jadi, lakukan persediaan yang cukup.
8. Umm...Err...Aaa...
Elakkan daripada mengeluarkan bunyi-bunyi sebegini ketika sesi temuduga. Ini kerana ia akan menunjukkan anda gemuruh dan tiada keyakinan diri. Penemuduga boleh mengesan perkara ini. Oleh itu anda perlu sentiasa bertenang. Salah satu cara untuk menghindari perkara ini ialah dengan berkongsi cerita kejayaan-kejayaan yang anda telah capai sepanjang kerjaya anda kepada penemuduga. Anda pasti akan berasa lebih tenang dan selesa sepanjang temuduga.
9. Kontak Mata (Eye Contact)
Melihat mata penemuduga adalah sangat penting dalam sesi temuduga. Ketika menjawab soalan, anda perlu bertentang mata dengan penemuduga. Jika anda bercakap sambil memandang ke bawah, memandang tingkap, lampu dan sebagainya, anda akan dilihat seperti tidak mempunyai keyakinan diri dan sedang menipu.
Sekali lagi, perkara ini perlu dilatih terlebih dahulu bersama rakan-rakan anda.
10. Gagal Menyesuaikan Diri Dengan Gaya Komunikasi
Anda perlu berkomunikasi dengan baik dengan penemuduga. Lebih penting daripada itu, anda perlu menyesuaikan gaya komunikasi anda dengan gaya komunikasi penemuduga. Contohnya, jika penemuduga tersebut seorang yang serius tentang perniagaannya, jangan cuba berjenaka dengan membawa cerita-cerita lucu. Anda perlu berkomunikasi dengannya secara jelas dan serius seperti perbincangan dalam perniagaan. Begitu juga sebaliknya.
Baiklah setakat ini sahaja sesi kursus yang pertama. Anda pasti akan menjadi calon yang lebih baik jika anda tidak melakukan 10 kesalahan yang saya sebutkan di sini. Berjumpa lagi dalam siri kursus yang seterusnya. Topiknya ialah...
10 Persediaan Penting Menghadiri Temuduga
All the best,
Hafiz Lidin
Penulis E-Book Teknik Menjawab Soalan Temuduga
Teknik Menjawab Soalan Temuduga
Kursus 2:
10 Persediaan Penting Menghadiri Temuduga
Tahniah! Setelah bersusah payah menghantar resume dan surat permohonan pekerjaan, akhirnya anda dipanggil untuk sesi temuduga. Oleh itu bermula dari sekarang, anda perlu melakukan persediaan yang secukupnya. Ini kerana, lebih banyak persediaan yang anda lakukan, lebih cerah peluang anda untuk keluar dari bilik temuduga dengan senyuman sambil berkata,
“Saya rasa saya boleh dapat kerja ini.”
Tapi anda harus ingat, dalam dunia perniagaan yang sangat mencabar hari ini sudah pasti ramai calon yang berkelayakan mengisi sesuatu kekosongan jawatan. Oleh itu adalah penting untuk anda menjadi seseorang yang berbeza berbanding orang lain. Apa yang anda perlu lakukan sekarang ialah berlatih untuk menjual diri anda kepada bakal majikan anda semasa temuduga nanti.
Ikuti 10 tips penting persediaan yang anda perlu lakukan untuk menghadiri temuduga.
1. Buat Kajian Tentang Syarikat
Sebelum menghadiri temuduga, anda perlu membuat kajian tentang syarikat supaya anda mendapat gambaran umum tentang syarikat. Dengan melakukan perkara ini, ia akan meningkatkan kredibiliti anda kepada penemuduga dan membantu anda mencipta soalan-solan yang boleh ditanya kepada penemuduga.
2. Tahu Di Mana Lokasi Syarikat
Pastikan anda tahu lokasi syarikat tersebut dan bagaimana anda boleh ke sana. Berapa lama masa yang diambil untuk sampai ke sana? Adakah anda tahu nombor telefon dan dengan siapa anda akan berjumpa? Bagaimana dengan tempat letak kenderaan? Dengan mengetahui perkara ini anda boleh menjimatkan masa anda dan mengelakkan tekanan yang mungkin anda hadapi jika tercari-cari tempat tersebut ketika hari temuduga nanti.
3. Pakaian
Pakaian anda haruslah kemas, menarik dan kelihatan profesional. Walaupun anda tidak begitu arif tentang budaya syarikat, adalah lebih selamat jika anda mengenakan pakaian yang agak konservatif. Sekiranya ketika anda datang nanti semua orang disitu memakai seluar jeans dan t-shirt sahaja, anda tetap akan nampak lebih baik jika datang dengan pakaian yang kemas. Namun, sekiranya anda sudah tahu tentang budaya syarikat, tidak salah untuk anda berpakaian sedemikian. Selain itu, pastikan rambut anda disikat dengan kemas dan rapi dan kuku anda dipotong dan dijaga dengan baik.
4. Temuduga Olok-olok
Pastikan anda bersedia dengan soalan-soalan yang biasa ditanya ketika temuduga seperti What are your strengths and weaknesses? (Apakah kekuatan dan kelemahan anda?), Why do you want to work here? (Kenapa anda ingin bekerja di sini), Why should we hire you? (Kenapa kami harus menerima anda bekerja), dan soalan paling popular iaitu Tell me about yourself (Beritahu saya tentang diri anda). Buat satu temuduga olok-olok bersama dengan rakan anda untuk bersoal jawab tentang soalan-soalan ini.
5. Dapatkan Rujukan Yang Membantu
Dapatkan sekurang-kurangnya tiga orang rujukan – bekas majikan, rakan sejawat, pensyarah - yang sanggup menjadi rujukan profesional anda. Pastikan anda mendapatkan kebenaran mereka terlebih dahulu. Lebih penting lagi mereka mampu untuk bercakap tentang diri anda jika dihubungi oleh bakal majikan anda nanti.
6. Datang Awal
Pastikan anda datang sekurang-kurangnya 15 minit lebih awal sebelum sesi temuduga. Sesudah sampai cari mana-mana cermin yang terdapat dalam syarikat tersebut dan lihat penampilan anda terlebih dahulu. Kemudian maklumkan kepada penyambut tetamu tentang kehadiran anda dan beritahunya ada temujanji untuk temuduga. Selain itu, matikan telefon bimbit supaya ia tidak mengganggu ketika pertemuan anda dengan penemuduga nanti.
7. Bawa Dokumen Yang Diperlukan
Buat satu senarai dokumen-dokumen yang diperlukan semasa temuduga. Dokumen ini termasuklah salinan resume anda, kad pengenalan, sijil-sijil yang berkaitan. Kemudian, susun dokumen ini dengan baik. Pastikan susunan salinan fotokopi sama dengan susunan salinan asal. Ini bagi memudahkan penemuduga membuat rujukan. Jika anda graduan baharu, jangan lupa bawa kesemua transkrip pengajian anda.
8. Jual Diri Anda!
Sesi temuduga ialah peluang untuk anda menyinar. Ia bukan masa untuk merendah diri. Bina satu pernyataan ‘Mengapa anda?’. Anda perlu memasukkan kekuatan-kekuatan anda, kebolehan yang anda miliki dan keunikan anda berbanding calon lain.
9. Bertanyakan Soalan
Penemuduga akan tertarik dengan calon yang menunjukkan mereka mengetahui banyak perkara tentang syarikat. Oleh itu, berdasarkan kajian anda sebelum menghadiri temuduga, sediakan soalan untuk ditanya kepada penemuduga. Antara soalan yang boleh anda tanya ialah sejauah mana jawatan itu memberi kesan kepada matlamat dan rancangan syarikat di masa hadapan.
10. Tindakan Susulan
Sesudah selesai satu sesi temuduga, perkara penting yang anda perlu anda lakukan ialah menghantar satu email penghargaan atas masa yang diluangkan serta pertimbangan yang mereka lakukan. Nyatakan juga anda sangat berminat dengan jawatan tersebut serta akan komitmen yang sepenuhnya terhadap jawatan yang ditawarkan. Selepas itu, jika anda masih tidak menerima apa-apa berita daripada penemuduga dalam tempoh seminggu, hubungi mereka semula. Tanya dengan baik bilakah mereka akan membuat keputusan berkenaan temuduga yang anda hadiri.
Itu sahaja untuk kali ini. Setiap sesi temuduga adalah pengalaman yang sangat bernilai. Walaupun anda tidak memperoleh kerja yang ditawarkan sekalipun, anda akan lebih bersedia dan akan menjadi lebih baik dalam temuduga yang akan datang. Semua ini akan meningkatkan keyakinan serta peluang anda untuk ditawarkan pekerjaan yang seterusnya. Semoga berjaya!
Jumpa lagi dalam kursus seterusnya yang bertajuk...
Sebelum, semasa dan selepas temuduga
All the best,
Hafiz Lidin
Penulis Ebook Teknik Menjawab Soalan Temuduga
Teknik Menjawab Soalan Temuduga
P.S. Saya harap dapat membantu anda dengan tip menghadiri temuduga ini. Dalam ebook Teknik Menjawab Soalan Temuduga, saya ada menyediakan teknik-teknik menjawab soalan-soalan yang sering ditanya ketika temuduga serta jawapan cadangan yang boleh membantu anda memperoleh pekerjaan idaman anda dengan lebih cepat.
0 comments:
Post a Comment