ELAUN GURU KAFA NAIK JANUARI

Thursday, February 3, 2011

13 NOV - ELAUN GURU KAFA NAIK JANUARI

zahid-hamidi

KUALA LUMPUR: Elaun guru Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Kelas Fardu Ain (Kafa) di Wilayah Persekutuan dinaikkan kepada RM1,000 hingga RM1,200 sebulan mulai 1 Januari depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata elaun guru itu yang pada masa kini RM500 sebulan, tidak dinaikkan sejak 22 tahun lalu.

Katanya, mereka layak untuk diberi elaun setimpal memandangkan kadar inflasi yang meningkat setiap tahun dan ia adalah penghargaan dan pengiktirafan kepada pejuang Islam.

“Kenaikan ini kerana menyedari selama ini paras gaji dan kedudukan pegawai agama (guru agama) tidak mendapat pengiktirafan yang sepatutnya dan terlalu berhati-hati untuk membelanjakan gaji atau elaun mereka yang menegakkan syiar Islam,” katanya selepas merasmikan Majlis Ihtifal Perdana dan penyampaian Sijil Tadika Islam Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di sini, semalam.

Majlis yang julung kali diadakan di Wilayah Persekutuan itu dihadiri 2,900 pelajar daripada 5,662 Tadika Islam JAWI dan MAIWP menamatkan alam tadika.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi MAIWP berkata, oleh kerana kutipan zakat MAIWP mencecah RM200 juta setahun maka adalah munasabah guru berkenaan mendapat kenaikan elaun.

Sehubungan itu, katanya, negeri lain digalakkan mencontohi MAIWP untuk menaikkan kadar elaun guru SRA dan Kafa di bawah jabatan agama Islam negeri masing-masing.

Ahmad Zahid berkata, sebanyak 625 jawatan guru tadika di Wilayah Persekutuan diperlukan dalam tempoh lima tahun akan datang (sehingga 2012) bagi menampung keperluan guru sedia ada yang pada masa kini seramai 278 orang.

Beliau berkata, MAIWP juga akan menaik taraf Tadika Islam Jawi dan MAIWP yang kini berjumlah sebanyak 78 buah. “Jika selama ini tadika Islam hanya menumpang di masjid, flat dan dewan orang ramai, maka premis tadika Islam yang lebih baik dan mesra akan dibangunkan,” katanya.

Sumber : Berita Harian

0 comments: